Wednesday 22 December 2010

Pertandingan Futsal Suka-Suka Zon 1 Pemuda Sekijang








Tanggal 19hb Disember 2010, Zon 1 Pemuda UMNO Bahagian Sekijang yang diketuai oleh Pengerusinya, Sdr. Hj. Md Salleheen Bin Hj. Mohamad telah menganjurkan Pertandingan Futsal Suka-Suka dengan kerjasama Persatuan Belia Generasi Baru ( BGB ) Paya Pulai bertempat di Padang Permainan Taman Pelangi, Segamat, Johor. Pertandingan bermula kira-kira jam 8 pagi dan berakhir jam 5.30 petang.

Program telah berlangsung dengan meriah walaupun keadaan cuaca kadang-kadang tidak mengizinkan.Namun begitu, atas semangat kesukanan program ini diteruskan dengan penyertaan seramai 10 pasukan yang terdiri daripada cawangan-cawangan Pemuda UMNO dalam Zon 1 iaitu Cawangan Paya Pulai, Kg. Pogoh 2, Tekam Restu, Kg. Sedeng, Taman Pelangi, Bukit Senggir dan Lubuk Selumar.

Sedari pagi kejohanan bermula, kelibat orang ramai yang menonton perlawanan amat memberangsangkan.Namun, kira-kira jam 3 petang kelihatan orang ramai mula datang berpusu-pusu bagi menyokong pasukan kegemaran masing-masing.Sementelahan pula, ada di kalangan pemain-pemain terdiri daripada rakan-rakan dan ahli keluarga sendiri.

Turut hadir Ketua Pemuda Bahagian Sekijang, Sdr. Anuar Bin Abd Manap, Naib Ketuanya, Sdr. Hj. Jamaludin Rasip dan barisan AJK Pemuda Bahagian.Pada hari itu juga Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Sekijang telah mengambil inisiatif dengan mengadakan pendaftaran Pemilih SPR dan pengambilan ahli UMNO baru.

Pasukan Cam Ye Ye daripada Belia Kg. Pogoh 2 muncul juara dalam pertandingan ini. Tempat kedua pula dimenangi oleh Pasukan Kaki Bangku FC. Manakala, Pasukan Asal Boleh Cinta dan Pasukan Spain masing-masing di tempat ketiga dan keempat. Hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Sdr. KP dan NKP Sekijang.

Kesempatan ini sekalung penghargaan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada jabatan dan individu yang terlibat dalam menjayakan program ini secara langsung mahupun tidak langsung termasuk pasukan medik daripada Pejabat Kesihatan Daerah Segamat yang sanggup turun padang bagi memberi bantuan kecemasan kepada pemain-pemain yang mengalami kecederaan.Tetapi, Alhamdulillah sebarang kejadian yang tidak diingini tidakpun berlaku.

Moga pertandingan sukan seumpama ini dapat diteruskan di masa-masa akan datang bagi mendekatkan lagi golongan muda-mudi dengan aktiviti sihat seperti ini. Tahniah diucapkan kepada Sdr. Hj. Salleheen dan barisan jawatankuasa dalam Zon 1!!

No comments:

Post a Comment