Monday 20 July 2009

Cadangan Dari Cawangan - Cawangan Pemuda Dalam Bahagian Sekijang

USUL DAN CADANGAN
DARI PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN – CAWANGAN
(TIDAK PERLU DIBAHASKAN)


1. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN KAMPUNG PAYA BESAR

a. Menganjurkan kursus atau kaunseling kepada semua AJK Pemuda UMNO bagi meningkatkan mutu pentadbiran dan memahami tugas yang diberikan dalam organisasi dan secara langsung memusahkan pengurusan segala program yang akan diadakan dalam organisasi tersebut.
b. Menyediakan sejumlah elaun kepada seluruh AJK Pemuda UMNO Cawangan yang telah bertungkus-lumus dalam melaksanakan tugas. Dengan ini, tugasan yang dibuat akan terlaksana dengan lebih prihatin dan bertanggungjawab.

2. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN FELDA REDONG SATU

a. Memohon agar kerajaan memberi perhatian dan mempercepat proses pembinaan rumah bagi generasi kedua di Felda Redong Satu.

3. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN FELDA REDONG DUA

a. Meminta agar hal berkaitan tapak rumah untuk generasi kedua Felda agar diketengahkan.
b. Meminta agar penganjuran program untuk Pemuda dan Belia diperbanyak.

4. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN FELDA PEMANIS SATU

a. Meminta agar dihantar wakil-wakil dari Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membuat proses pendaftaran pemilih
b. Meminta agar perkara berkaitan penempatan generasi kedua Felda diberi perhatian.

5. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN FELDA PEMANIS DUA

a. Memohon agar tindakan segera diambil bagi menangani masalah pendaftaran ahli baru. Hal ini kerana kelembapan ini menyebabkan wujudnya isu ahli yang mendaftar tidak diluluskan dan menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti persidangan.
b. Mencadangkan agar komunikasi menggunakan media baru diperluaskan di kalangan Pemuda UMNO Cawangan – cawangan. Untuk tujuan itu, Pemuda cawangan harus dilengkapkan dengan kemudahan ICT yang terkini. Ia adalah sebahagian dari usaha untuk menawan kelompok besar anak muda yang tidak kelihatan di cawangan – cawangan, tetapi merupakan sebahagian daripada pengundi berdaftar.


6. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN SUNGAI SEGAMAT

a. Mencadangkan agar AJK Bahagian sentiasa bersama cawangan untuk perkenalan antara satu sama lain.
b. Mencadangkan agar kursus-kursus motivasi dianjurkan untuk manfaat ahli-ahli Pemuda.

7. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN PAYA PULAI

a. Memohon agar diadakan kelas-kelas agama.
b. Memohon agar disediakan perkhidmatan wi-fi di Paya Pulai.
c. Memohon agar dibina sebuah sekolah kebangsaan di Paya Pulai.

8. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN FELDA KEMELAH

a. Meminta agar masalah dalam pendaftaran keahlian Pemuda diselesaikan segera. Hal ini kerana pihak cawangan terpaksa menghantar banyak permohonan pendaftaran ahli baru sebanyak 3 kali, tetapi hanya 5 sahaja yang lulus.

9. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN PAYA LENGA

a. Meminta diwujudkan pusat snooker sebagai tempat untuk bersukan dan beriadah.
b. Meminta agar dibina pusat pengajaran komputer.
c. Meminta agar dibina sebuah gelanggang sepak takraw.
d. Meminta agar kursus dan bantuan keusahawanan yang lebih mantap dan berkesan diadakan.

10. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN KG SRI DAGANG

a. Meminta AJK Pemuda Bahagian agar datang ke Kg Sri Dagang untuk menjayakan program.
b. Ingin kepastian tentang cerita-cerita negatif tentang Ketua Pemuda Bahagian yang didengari. Seorang pemimpin haruslah lebih mementingkan komuniti daripada individu, selain menjaga hubungan baik dengan semua orang.

11. PERGERAKAN PEMUDA UMNO CAWANGAN SEGAMAT BARU

a. Menyarankan agar semua pihak bersatu dalam usaha mengukuhkan UMNO.
b. Menyarankan UMNO Bahagian agar sentiasa turun ke cawangan-cawangan bersama-sama sayap Parti (Pemuda, Wanita dan Puteri).

Usul AGM Pemuda Sekijang

USUL UNTUK DIBAHASKAN

DARI PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN SEKIJANG

MEMPERTAHANKAN KEPENTINGAN MELAYU

DI DALAM KONSEP 1MALAYSIA

Menyedari bahawa kedudukan, kesitimewaan dan hak – hak orang Melayu yang selama ini dipertahankan oleh kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional menerusi UMNO sudah semakin lama semakin berani dicabar, sama ada oleh pihak pembangkang mahupun sesama keluarga di dalam parti komponen Barisan Nasional sendiri.

Mengakui bahawa orang Melayu masih lagi memperlukan pembelaan daripada Kerajaan menerusi diskriminasi positif parti pemerintah yang ditunjangi oleh kemahuan dan kekuatan politik.

Menginsafi bahawa Kerajaan telah melakukan pelbagai cara untuk membela kepentingan orang Melayu, sama ada secara sedar mahupun tidak, dengan tujuan dan niat murni untuk menjadikan Melayu sebagai sebuah bangsa yang bermaruah dan kukuh dari segi ekonomi, pendidikan, sosial dan taraf hidup sebagai sebuah bangsa yang bertamadun.

Memahami bahawa konsep 1Malaysia yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri adalah dibina menerusi dua aspek utama, teras perpaduan dan nilai – nilai aspirasi, untuk membawa Malaysia ke gerbang negara maju, dengan nilai budaya maju dan ekonomi tahap tinggi.

Menyanjung tinggi konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, sebagai panduan cara berkerja kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional

Maka, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sekijang yang bersidang pada hari ini membuat ketetapan – ketetapan berikut :-

1. Menyokong sepenuhnya konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang dibawa oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Tun Haji Abd Razak. Pemuda yakin dan percaya, Perdana Menteri telah memikirkan apa yang terbaik untuk semua warga di Negara ini, terutamanya untuk orang Melayu.

2. Menyokong sepenuhnya dasar – dasar dan pembaharuan yang dibawa oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri, seperti mewujudkan Ekuiti Nasional (Ekuinas), Biasiswa Nasional (BN) dan liberarisasi beberapa sektor di dalam ekonomi. Pemuda memahami bahawa di dalam era globalisasi dan permainan di padang yang sama rata ini, kita perlu untuk bersedia dan membuka pintu kepada pelbagai pihak. Tetapi, harus juga diingat bahawa orang Melayu, terutama generasi muda Melayu, masih lagi memerlukan pembelaan menerusi apa jua dasar dan konsep yang cuba dibawa oleh Kerajaan.

3. Mengingatkan kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional dan kepimpinan UMNO pada semua peringkat agar tidak seincipun meminggirkan kepentingan orang Melayu di dalam apa jua dasar dan konsep pembaruan yang dibawa oleh kepimpinan YAB Perdana Menteri. Kita menyedari bahawa terlalu banyak pihak yang dengan sengaja suka menangguk di air yang keruh untuk memesongkan konsep 1Malaysia, dengan memberikan gambaran dan takrifan yang sempit dan jauh sekali menyimpang dari apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri. Justeru, Pemuda UMNO Sekijang mahu Kerajaan memberikan pemahaman dan gambaran menyeluruh kepada rakyat dan semua pihak agar tidak wujud lagi pihak – pihak yang menyalahtafsirkan konsep 1Malaysia ini.

4. Menggesa kepimpinan Kerajaan dan UMNO untuk menyediakan ruang yang cukup di dalam konsep 1Malaysia, menerusi Ekuinas, Biasiswa Nasional dan liberalisasi sektor ekonomi kepada orang Melayu. Kita masih lagi jauh tertinggal berbanding kaum lain. Dalam sektor pendidikan, bilangan professional Melayu masih lagi kecil. Kita masih lagi jauh untuk mencapai sasasran 30% pemilikan kek ekonomi. Kita masih lagi banyak dibelenggu oleh masalah sosial. Justeru, kita masih lagi banyak memerlukan pembelaan.

5. Menyeru agar konsep perpaduan yang selama ini dilaung – laungkan, malah dijadikan asas yang utama di dalam 1Malaysia, tidak hanya didokong oleh orang Melayu sahaja menerusi UMNO, tetapi juga seharusnya diterjemahkan oleh parti – parti komponen yang lain. Perpaduan ini, seharusnya menjadi lebih signifikan kerana Barisan Nasional dibina menerusi perpaduan pelbagai parti komponen.

6. Mengingatkan seluruh jentera Kerajaan, Jabatan, Agensi dan Penjawat Awam untuk merealisasikan konsep Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Adalah amat malang sekali apabila kakitangan Kerajaan yang dibayar gaji oleh Kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat, melayani kerenah dan kehendak rakyat, memahami dan melunaskan kemahuan mereka, tetapi tidak mencerminkan seorang yang berkhidmat untuk rakyat. Kegagalan dasar – dasar Kerajaan adalah biasanya diakibatkan oleh Jabatan, Agensi dan Kakitangan yang diamanahkan untuk melaksanakan dasar tersebut. Akibatnya, seluruh kepimpinan Kerajaan akan dihukum oleh rakyat. Lebih – lebih lagi, majoriti kakitangahn Kerajaan adalah orang Melayu. Mereka juga berkhidmat untuk majoriti orang Melayu.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sekijang yang bersidang pada hari ini, mengusulkan perkara di atas untuk diambil perhatian, seterusnya dimanifestasikan menerusi tindakan yang wajar.

Pemuda UMNO Sekijang mohon mengusulkan.

PERBAHASAN MENYOKONG USUL

MEMPERTAHANKAN KEPENTINGAN MELAYU

DI DALAM KONSEP 1MALAYSIA

Konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah sebuah konsep yang sungguh murni. Ia diibaratkan sebagai memulangkan semula maruah rakyat yang telah melantik Kerajaan sebagai pemerintah untuk menguruskan negara ini, dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk rakyat.

Orang Melayu adalah majoriti. Di negara ini, kita mewakili 51%, dengan tambahan 15% adalah Bumiputera bukan Melayu, menjadikan Bumiputera sebanyak 66%.

Dengan kekuatan ini, kita seharusnya memiliki kelebihan politik untuk menggariskan apa yang terbaik untuk kita lakukan terhadap bangsa kita. Dengan kekuatan politik ini jugalah, kita akan mengatur sederap langkah dan mekanisme bagi membela nasib bangsa kita, yang masih lagi jauh dari sasaran untuk menjadi maju dan terbaik.

Justeru, sokongan haruslah diberikan kepada Kerajaan dan kepimpinan UMNO untuk merealisasikan dasar 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Dasar di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri ini seharusnya tidak sekali – kali meminggirkan orang Melayu, dan masih lagi menjadikan orang Melayu sebagai subjek pilihan dan keutamaan dalam penentuan program, aktiviti, perancangan dan perlaksanaan yang dibuat menerusi dasar ini.

Apa jua tindakan yang bakal diambil oleh Kerajaan menerusi dasar 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan diharapkan tidak akan menjadikan orang Melayu terencat pembangunannya. Kita sekarang bercakap dan bersedia untuk fasa kedua 50 tahun kemerdekaan negara, yang bakal menyaksikan perubahan yang begitu drastik dalam sosio-politik-ekonomi. Apa yang dikatakan sebagai trasnformasi besar – besaran.

Saya menyokong usul yang dibentangkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sekijang.

Gambar - Gambar Sekitar AGM Pemuda Sekijang





Fotomedia dan Jurnalisme oleh Setiausaha Pemuda UMNO Sekijang. Terima kasih kepada Free Press Media.

Pemuda Umno Akan Terus Berperanan Sebagai Pendesak – Khairy

Pemuda Umno Akan Terus Berperanan Sebagai Pendesak – Khairy

SEGAMAT, 19 Julai (Bernama) -- Pergerakan Pemuda UMNO akan terus berperanan sebagai pendesak kepada kerajaan bagi membawa perubahan positif kepada negara terutamanya dalam isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.
Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata peranan itu selaras dengan harapan masyarakat yang mahukan perubahan dan juga prinsip 1Malaysia di mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.
"Peranan sebagai pendesak sebenarnya saya rasa adalah tradisi Pemuda, jadi kita hanya meneruskan tradisi ini dengan tujuan untuk menyelesaikan pelbagai perkara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Sekijang, di Balai Air Bah Kampung Paya Pulai, di sini Ahad. Sehingga kini, pelbagai isu telah diutarakan pergerakan itu yang turut merangkumi isu pelaksanaan pinjaman Tekun, masalah Perhentian Pudu Raya dan Rumah Pangsa Kampung Kerinchi (di Kuala Lumpur) serta isu kenaikan tarif elektrik.
Beliau kemudian menyempurnakan majlis penyampaian pinjaman Tekun berjumlah RM212,000 kepada 24 orang penerima dari Parlimen Sekijang. Hadir sama adalah Ketua UMNO Bahagian Sekijang yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Baharum Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Ayub Rahmat.-- BERNAMA

Monday 13 July 2009

Perlawanan Bola Sepak (Bawah 18) Pemuda BN Sekijang

Salam, Sayap utama Pemuda Barisan Nasional, iaitu Pemuda MIC akan menganjurkan Perlawanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Piala Pemuda Barisan Nasional Sekijang 2009 untuk kategori umur bawah 18 tahun. Pertandingan akan diadakan seperti mana berikut:

Tarikh : 18hb Julai 2009

Tempat : Padang Bola Sepak Kg Abdullah

Masa : Jam 8 Pagi - 6 Ptg

Untuk maklumat lanjut bolehlah hubungi Sdr Sathia 012-7356575.