Monday 20 July 2009

Pemuda Umno Akan Terus Berperanan Sebagai Pendesak – Khairy

Pemuda Umno Akan Terus Berperanan Sebagai Pendesak – Khairy

SEGAMAT, 19 Julai (Bernama) -- Pergerakan Pemuda UMNO akan terus berperanan sebagai pendesak kepada kerajaan bagi membawa perubahan positif kepada negara terutamanya dalam isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.
Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata peranan itu selaras dengan harapan masyarakat yang mahukan perubahan dan juga prinsip 1Malaysia di mana rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.
"Peranan sebagai pendesak sebenarnya saya rasa adalah tradisi Pemuda, jadi kita hanya meneruskan tradisi ini dengan tujuan untuk menyelesaikan pelbagai perkara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Sekijang, di Balai Air Bah Kampung Paya Pulai, di sini Ahad. Sehingga kini, pelbagai isu telah diutarakan pergerakan itu yang turut merangkumi isu pelaksanaan pinjaman Tekun, masalah Perhentian Pudu Raya dan Rumah Pangsa Kampung Kerinchi (di Kuala Lumpur) serta isu kenaikan tarif elektrik.
Beliau kemudian menyempurnakan majlis penyampaian pinjaman Tekun berjumlah RM212,000 kepada 24 orang penerima dari Parlimen Sekijang. Hadir sama adalah Ketua UMNO Bahagian Sekijang yang juga Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Baharum Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Ayub Rahmat.-- BERNAMA

1 comment:

  1. tahniah utk pemuda sekijang.. teruskan perjuangan, bersatulah demi bangsamu..

    gambar pon cantik kan.. hehehhehee

    ReplyDelete