Tuesday 2 December 2008

Apa Pendapat Anda? - Kuota Agihan Ahli Majlis MDS Didakwa Tidak Seimbang

Dipetik dari Berita Harian, 2 Disember 2008 di

SEGAMAT: Kuota pengagihan Ahli Majlis bagi Majlis Daerah Segamat (MDS) di antara kawasan Parlimen Segamat dan Sekijang didakwa tidak seimbang sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk.

Ini kerana daripada 12 Ahli Majlis MDS, hanya lima Ahli Majlis mewakili kawasan Parlimen Sekijang, manakala tujuh dari kawasan Parlimen Segamat.

Pada mesyuarat penuh Majlis Daerah Segamat (MDS) baru-baru ini, Halib Tahir yang mewakili Ahli Majlis MDS bagi kawasan Parlimen Sekijang berkata, adalah tidak wajar apabila kuota Ahli Majlis bagi kawasan Parlimen Sekijang sedikit berbanding Parlimen Segamat.

Beliau berharap pihak berkuasa kerajaan tempatan negeri dapat memperuntukkan jumlah kuota Ahli Majlis yang seimbang bagi kedua-dua kawasan Parlimen dengan setiap kawasan Parlimen mempunyai enam wakil sebagai Ahli Majlis MDS.

“Saya meminta pertimbangan pihak berkuasa supaya pembahagian kuota Ahli Majlis antara kawasan Parlimen Segamat dan Sekijang dibahagikan secara adil.

“Ini penting kerana kuota kedua-dua kawasan perlu diberikan secara adil supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk,” katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk di kawasan Parlimen Sekijang kebanyakan meminta MDS memperuntukkan kuota Ahli Majlis yang sama rata bagi kawasan Parlimen Sekijang dan Segamat.

Abdullah Kasbun, 50, dari Kampung Jawa berkata, pihaknya berpendapat MDS perlu menimbang semula kuota Ahli Majlis supaya ia diberikan secara adil bagi mengelak timbul rasa tidak puas hati di kalangan penduduk di Parlimen Sekijang.

“Bahagilah sama rata jumlah Ahli Majlis antara Parlimen Segamat dan Parlimen Sekijang... apakah alasan munasabah untuk membolehkan jumlah Ahli Majlis yang mewakili Parlimen Segamat lebih ramai daripada Sekijang,” katanya.

Teo Siu Tau, 58, dari Bukit Siput pula berkata, untuk memuaskan hati banyak pihak, MDS sepatutnya menimbang semula jumlah kuota itu pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment